MENGENAI KAMI

LATAR BELAKANG QURBAN AMAL

Qurban Amal merupakan entiti milikan Madrasah Tahfiz Al-Quran At-Tanwiriah bersama Madrasah Syahadah Tahfiz Al- Hidayah yang telah diwujudkan bagi menjalankan aktiviti korban, aqiqah dan wakaf telaga di negara-negara umat Islam yang terpilih.

Bermula tahun 2012 Qurban Amal telah dilancarkan sebagai salah satu program khidmat masyarakat peringkat madrasah bagi membantu saudara seislam yang minoriti dan yang lebih memerlukan di luar Negara. Pada tahun ini, pihak pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Quran At-Tanwiriah sekali lagi tampil meneruskan program tersebut dengan memberi peluang yang sama dan tujuan yang sama kepada masyarakat bagi menyahut seruan “khairu ummah” untuk berkorban sambil beramal bersama madrasah ke 8 buah Negara iaitu Sudan, Afrika Selatan, Pakistan, Malawi, Rohingya, Thailand, Kemboja dan Malaysia. Sekaligus dapat membantu Madrasah Tahfiz Al-Quran At-Tanwiriah dan cawangannya di Muar dan di Kemboja.

Program ini merupakan program khidmat masyarakat khususnya membantu umat Islam di luar negara di mana kita dapat memberi bantuan kepada masyarakat Islam yang lebih memerlukan di luar negara khususnya. Sehubungan dengan itu, pihak madrasah juga turut menganjurkan Kembara Qurban Amal ke kemboja bagi meneruskan usaha tersebut untuk membantu saudara-saudara kita yang lebih memerlukan serta dapat memberi semangat dan motivasi kepada mereka.

Koperasi At-Tanwiriah Muar berhad telah diamanahkan untuk mengendalikan program qurban, aqiqah dan wakaf telaga selama lapan (8) tahun, Oleh yang demikian pengalaman itu membuatkan kami bersedia untuk menguruskan program ini dengan baik dan lebih teratur. Setiap program yang bakal dilaksanakan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

QURBAN

DEFINISI:
Segi Bahasa bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana Allah S.W.T.
Segi Syarak bermaksud menyembelih binatang yang tertentu pada masa-masa yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

PENSYARIATAN & HIKMAH QURBAN:
telah disyari’atkan pada tahun kedua hijrah sama seperti ibadah zakat dan sembahyang Hari Raya.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 :
Maksudnya : “Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur”
.

Hikmah melakukan ibadah Qurban sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT atas segala nikmat-Nya yang berbagai-bagai dan juga atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun. Ia juga bertujuan menjadi kifarat bagi pelakunya sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan, ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan, di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain.

HUKUM QURBAN:
Hukum melakukan qurban ialah sunnah mu’akkadah bagi sesiapa yang mampu melakukannya.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud: “Aku diperintahkan agar menyembelih qurban dan ia sunat bagi kamu” (Riwayat Tirmizi)

JENIS QURBAN:
Terdapat dua jenis qurban iaitu qurban wajib dan qurban sunat.

i- Qurban Wajib: Qurban Nazar

  • Contohnya apabila seseorang menyebut, “Kerana Allah wajib ke atasku berqurban seekor kambing atau seekor unta ini” ataupun dengan menyebut, “Aku jadikan kambing ini sebagai qurban”
  • Binatang yang dibelikan untuk tujuan qurban oleh seorang fakir. Apabila seorang fakir membeli seekor kambing dengan niat untuk diqurbankan, maka ia menjadi wajib. Ini kerana membeli dengan tujuan berqurban oleh seseorang yang tidak wajib melakukannya dikira wajib kerana perbuatan ini dikira sebagai satu nazar.

ii- Qurban Sunat
Qurban yang dilakukan oleh seseorang yang berkemampuan melakukannya sama ada miskin ataupun yang bermusafir, yang tidak berniat nazar atau membeli dengan tujuan qurban.

BINATANG QURBAN:
Perbincangan tentang binatang qurban ini meliputi empat perkara :

  • Jenis binatang yang diqurban.
  • Umur binatang qurban.
  • Kadar binatang yang disembelih.
  • Sifat–sifat binatang qurban.

 

Jenis binatang yang diqurbankan
Para ulama’ sependapat bahawa ibadah qurban tidak sah kecuali dengan menggunakan binatang an’am, iaitu binatang jinak yang berkaki empat seperti unta, lembu dan kerbau, kambing biri–biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina. Oleh itu, tidak sah berqurban dengan menggunakan binatang yang lain daripada binatang an’am ini seperti kerbau liar dan kijang.

Firman Allah subhanahu wata’ala maksudnya:
“Dan bagi tiap-tiap satu umat, Kami syari’atkan ibadah menyembelih qurban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu.” (Surah Al-Hajj 22:34)

Umur binatang yang diqurban
Haiwan ternakan itu telah mencapai satu tahap minimum umur, iaitu:
i- unta : berumur lima tahun masuk tahun keenam
ii- lembu/kerbau : berumur dua tahun masuk tahun ketiga
iii- kambing : berumur dua tahun masuk tahun ketiga
iv- biri-biri : berumur satu tahun masuk tahun kedua, ataupun telah bersalin gigi hadapan.

Kadar binatang yang disembelih
Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy hanya mencukupi sebagai qurban untuk seorang sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi qurban bagi tujuh orang.

Ini berdasarkan hadith Jabir:
“Kami berqurban bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.”

Dalam riwayat Muslim pula menyebut :
“Kami keluar bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengurbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta.”

 

Sifat-sifat binatang Qurban
Sifat–sifat binatang qurban sama ada betina atau jantan yang digariskan oleh syara‘ adalah seperti berikut:

  • Terang penglihatannya iaitu tidak buta.
  • Tidak cacat seperti kudung kaki, putus ekornya, terpotong hidungnya atau sebagainya.
  • Gemuk, tidak harus pada binatang yang terlalu kurus.
  • Ciri-ciri yang afdhal terdapat pada binatang qurban itu:
  • Gemuk pada keseluruhan anggotanya.
  • Bertanduk.
  • Putih warna bulunya (pada kibasy).
  • Jantan.

Sifat yang makruh pada binatang qurban:

  • Rabit telinganya.
  • Terpotong sedikit bahagian belakang atau depan telinganya.
  • Tidak mempunyai tanduk sejak asalnya.
  • Patah tanduk sebelah atau keduanya atau pecah bahagian tanduknya.
  • Tanggal sebahagian giginya disebabkan tua atau jatuh.
  • Kabur penglihatannya.

WAKTU PENYEMBELIHAN QURBAN:
Penyembelihan hendaklah dilakukan pada Hari Nahar (10 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijjah) meliputi malam ke-11, 12 dan 13. Qurban tidak sah dilakukan pada malam sebelum Hari Raya (10 Zulhijjah). Ia juga tidak sah dilakukan pada malam 14 Zulhijjah.

Waktu bagi menyembelih qurban bermula setelah selesai sembahyang Hari Raya dan bacaan khutbahnya iaitu setelah naik matahari sekadar segalah. Masanya berterusan siang dan malam sehingga Hari Tasyrik yang akhir iaitu sebelum terbenam matahari pada hari tersebut. 

  •  Ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayat oleh Al-Barra’ bin ‘Azib :

“Perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini ialah bersembahyang, kemudian kita balik dan melakukan penyembelihan qurban. Sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka ia merupakan daging yang disediakan untuk ahli keluarganya. Ia tidak dikira sebagai ibadah khas (qurban) ini sedikit pun.”

PERKARA SUNAT KETIKA IBADAH QURBAN:
– Bermula 1 Zulhijjah sehingga pengesahan ternakan korbannya disembelih, orang yang berkorban tidak digalakkan untuk memotong rambut dan kuku sehingga pelaksanaan ibadah qurban.

– Semasa menyembelih, perkara disunatkan adalah:

  1. Membaca Bismillahirrohmanirrahim
  2. Berselawat ke atas Nabi S.A.W
  3. Menghadapkan binatang ke arah kiblat di atas rusuk kirinya
  4. Bertakbir sebelum membaca Bismillah dan selepasnya.
  5. Membaca doa : Maksudnya: “Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya.”

– Sebaiknya ibadah ini dilakukan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.

HUKUM DAGING QURBAN:
– Qurban yang wajib iaitu dinazarkan, wajiblah disedekahkan kesemuanya dan orang yang berqurban tidak boleh memakannya.
– Jikalau orang itu melakukan qurban sunat di mana afdhal dia memakan beberapa suap sebagai mengambil berkat.
– Menurut pendapat qawl jadid orang yang berkorban boleh makan sebahagian daripada qurbannya.
– Manakala menurut pendapat Qawl qadim pula berpendapat harus dimakan sebanyak separuh manakala bakinya disedekahkan.
– Adapula sebahagian ulama berpendapat daging qurban dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 1/3 disedekahkan mentah, 1/3 daging dimasak dan dibuat jamuan dan 1/3 dimakan oleh orang yang berqurban.
– Pendapat asah pula, wajib daging qurban disedekahkan walau sedikit kepada orang Islam fakir walaupun seorang.
– Tetapi lebih afdhal untuk disedekahkan kesemuanya sekali kecuali menjamahnya sedikit untuk mengambil berkat.
– Bahagian kulit binatang korban pula, dibolehkan untuk bersedekah kepada yang lain atau untuk kegunaan sendiri. Melainkan jika itu qurban nazar, wajib baginya untuk menyedekahkan semua sekali.

AQIQAH

PENGERTIAN AQIQAH:
Aqiqah ialah sembelihan binatang an’am yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah subhanahu wata’ala.

HUKUM AQIQAH:
Hukum melakukan ‘aqiqah ialah sunnah mu’akkadah bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut.

Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing.

Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.

WAKTU PELAKSANAAN AQIQAH:
Waktu melakukan ‘aqiqah adalah dari hari kelahiran kanak-kanak itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdhal untuk melakukan ‘aqiqah adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak tersebut. 

Sabda Rasullullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

كُلُّ غُلاَمٍ رَهِيْنَةٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ , وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى .

Maksudnya: “Setiap bayi itu tergadai dengan ‘aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama.” (Riwayat Abu Daud)

SYARAT AQIQAH:

  1. Berniat ‘aqiqah ketika menyembelih.
  2. Hendaklah binatang tersebut tidak ada cacat yang boleh mengurangkan dagingnya serta sampai umur.

PERKARA SUNAT SEMASA AQIQAH:

  1. Berdoa semasa hendak menyembelih:  بِسْمِ اللهِ ، اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ عَقِيْقَةٌ … (sebut nama anak)
    Maksudnya:
    “Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini ‘aqiqah…”.
  2. Menyembelih ketika matahari sedang naik.
  3. Daging ‘aqiqah dimasak terlebih dahulu sebelum disedekahkan.
  4. Tidak mematah-matahkan tulang-tulang daripada binatang ‘aqiqah, hanya mencerai-ceraikan sendi-sendinya.
  5. Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin.
  6. Memasak daging ‘aqiqah dengan cara gulai manis untuk dihidangkan kepada tetamu.

HIKMAH AQIQAH:

Aqiqah mempunyai beberapa hikmah, antaranya:

  1. Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan anak.
  2. Untuk mengisytiharkan kepada masyarakat umum tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah.
  3. Untuk memulakan kehidupan anak dengan perkara-perkara kebaikan.
  4. Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli masyarakat dengan keluarga yang dikurniakan anak.
  5. Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati sunnah Rasulullah.